WHAT'S NEW?
Loading...

Profil Usahawan Pilihan







Azri Zahier Azmi
Pengarah Urusan          
The Boom Beverage Sdn Bhd

Alamat
:
No 22A-3, Jalan 17/54, Seksyen 17
Petaling Jaya, Malaysia
Tel
:
03-7931 6061
Faks
:
NA
E-mel
:
admin@hausboom.com
Laman Web
:
https://www.facebook.com/johnlemon.rama2hijau

Latarbelakang Usahawan
Encik Azri Zahir Azmi merupakan pengarah urusan The Boom Beverage Sdn Bhd. Beliau merupakan lepasan SM Sains Raja Tun Azlan Shah dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan (Pembinaan) dari Universiti Malaya.
Sekolah Rendah
Sejak kecil lagi, dia mempunyai cita rasa yang tinggi. Ketika bersekolah darjah lima, dia mahu beg sekolah berjenama Deuter yang bernilai RM200, tetapi ibu bapanya enggan menunaikan permintaan itu dan memberikan beg sekolah berharga RM30. Tetapi keinginan Azri untuk bergaya sangat kuat sehingga kanak-kanak berusia 10 tahun pada ketika itu sanggup mengumpul duit dengan mengambil upah membersihkan meja di kedai makan dan menjual durian milik datuknya. Malah pada usia tersebut, Azri secara tidak langsung mempelajari seni psikologi kerana mendapati orang ramai mempunyai kelemahan tertentu apabila berdepan dengan kanak-kanak. Menyedari betapa pentingnya ilmu untuk menjalankan perniagaan, dia mempelajari segala butiran tentang durian supaya boleh memberi pandangan kepada pelanggan bagi membeli buah yang berkualiti berdasarkan kehendak mereka. Lebih mengagumkan, mereka akan datang kembali untuk membeli dengannya.
Sekolah Menengah
Apabila Azri dimasukkan ke Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah di Taiping, dia mengambil pendekatan untuk merendah diri untuk menjana pendapatan kerana dua tahun pertama, dia masih bergelar pelajar junior. Apabila mencecah tingkatan tiga dan sebagai senior, dia lebih bebas dan mula menjual keropok dan gula-gula lolipop kepada pelajar lain. Beliau membeli sebungkus besar keropok dengan harga RM4.50 dan menjualnya semula dengan harga RM9.00 bagi memperoleh keuntungan 100 peratus bagi setiap bungkus.Pada waktu itu (tahun 2002), beliau mampu membeli sendiri telefon bimbit Nokia paling baharu di pasaran yang tidak digunakan ramai orang kerana harganya mahal.
Universiti Malaya
Sambil mengikuti jurusan asas Asasi Sains di Universiti Malaya, Azri menjual idea kepada pelajar lain untuk memakai sut lengkap pada majlis makan malam tahunan kerana seorang daripada kawan bapanya mempunyai beratus-ratus sut percuma. Jadi Azri dan rakannya membawa semua sut tersebut untuk dijual kepada pelajar lain. Mereka menjual sut berkenaan dengan harga RM50 setiap satu pasang tanpa mengeluarkan modal. Kira-kira 80 peratus pelajar membeli sut daripada mereka. Mereka mendapat keuntungan beribu-ribu ringgit!. Pada mulanya, Azri mengambil ijazah jurusan Kimia Gunaan tetapi menukar kepada jurusan lain kerana tidak meminati kursus tersebut. Beliau melihat para pensyarah di Fakulti Alam Bina (Pembinaan Alam Sekitar) memandu kereta berjenama BMW, Porsche dan kereta mewah lain, lalu menyebabkan beliau memilih jurusan itu kerana bagi beliau, pensyarah terbabit mengamalkan ilmu yang diajar kepada pelajar.
Akibat menukar jurusan, Azri hilang kelayakan sebagai peminjam PTPTN tetapi dia mencari jalan lain bagi menampung kewangan dan cara hidupnya. Azri menyertai pasukan perbahasan universiti dan mengikuti setiap kali perdebatan untuk mendapatkan elaun sebanyak RM60 sehari selain tarikan hadiah wang tunai bernilai dari RM8,000 hingga RM27,000. Beliau menjadikan perbahasan sebagai perniagaan dan banyak pertandingan debat diadakan. UM menjadi pasukan debat terbaik di Malaysia ketika beliau menyertainya. Malah beliau juga memenangi anugerah pendebat terbaik.
Azri Zahier (kiri) ketika memenangi anugerah debat.
Pada tahun kedua di universiti, Azri sudah mampu membeli sebuah Proton Savvy baharu untuk dirinya. Tidak sekadar bergantung kepada ‘perniagaan debat’, Azri turut melibatkan diri dalam perniagaan lain. Dia turut mencetak buletin untuk calon pakatan yang bertanding pada pilihan raya pelajar dan mengaut keuntungan sebanyak RM5,000. Beliau juga mengambil kelas fotografi dan menghabiskan masa pada hujung minggu untuk sesi fotografi perkahwinan dengan mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM3,000 setiap sesi.
Meskipun sibuk menjana pendapatan, Azri masih mampu meraih pencapaian cemerlang dengan GPA 3.7 dan mendapat ijazah Ukur Bahan pada 2010. Namun selepas beberapa bulan bekerja sebagai juruukur bahan, dia merasakan gaji RM2,000 tidak mencukupi. Terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan dan beliau adakala terfikir bahawa beliau tidak memerlukan ijazah untuk melakukan kerja ini.
Farmbook.my
Susulan itu, dia memohon jawatan kosong di Petronas dengan menduduki ujian dan menghadiri sesi temuduga. Azri dimaklumkan berjaya mendapat kerja di Petronas tetapi menunggu beberapa bulan untuk mendapat surat tawaran. Disebabkan letih menunggu, Azri mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan bersama abangnya dengan menubuhkan sebuah syarikat dan portal farmbook.my bagi menarik perhatian peladang, nelayan, penternak berdagang secara dalam talian. Dia ternyata terkejut apabila Perdana Menteri melancarkan idea yang sama di MAHA 2010.
Dengan rasa ghairah dan yakin, Azri menolak surat tawaran Petronas walaupun dipujuk oleh ibu dan kekasihnya agar tidak berbuat demikian. Tetapi nasib Azri mula berubah apabila farmbook.my tidak mendapat sambutan. Beliau dapati peladang dan penternak tidak bergantung pada teknologi. Mereka tidak mengikuti perkembangan Internet. Mereka juga tidak mempunyai emel dan bagaimana mereka boleh berdagang menggunakan bayaran secara talian. Azri perlu menanggung bil, kos lebihan, menyelenggara pejabat dan membayar gaji pekerja. Ketika itu beliau betul-betul pokai. Beliau juga terpaksa mengorek tabung sehingga tiada 10 sen pun yang tinggal. Ketika bulan puasa, beliau menyewa rumah di Solaris supaya setiap petang beliau boleh berjalan selama 40 minit ke Masjid Wilayah Persekutuan untuk membuka puasa. Kekasih beliau menyangka beliau menjadi warak, tetapi sebenarnya beliau ke sana untuk mendapatkan makanan percuma. Pengalaman tersebut mengajarnya tentang perniagaan bukan sahaja memerlukan kemahiran, tetapi hati yang kuat untuk menghadapi cabaran.
Melihat Peluang Baharu
Tiada siapa akan selamanya berada di bawah dan beliau membuktikan kemampuannya untuk bangkit semula. Dia kemudian menyertai seorang rakanya untuk berkecimpung dalam syarikat perdagangan minyak dan gas dan apabila pinjamannya untuk terlibat dalam bidang pertanian ditolak oleh Agro Bank, Azri melihat peluang baharu. Beliau tahu sebab bank menolak permohonan saya, bukan kerana tidak layak tetapi pegawai di bank itu tidak mengetahui dengan lebih luas tentang pertanian. Jadi beliau menghasilkan kertas kerja untuk melatih staf bank tentang pertanian.
Institut iGrow (Institut Perusahaan Berasaskan Pertanian)
Azri meminjam wang sebanyak RM50,000 daripada seorang pakciknya yang menjalankan kursus kemahiran pertanian di sebuah kolej di Melaka. Dia kemudiannya mula bercucuk tanam dan membina sebuah kolam ikan air tawar di tanah milik datuknya di Kampung Gajah, Perak yang juga mempunyai ladang kelapa sawit. Usaha itu ternyata berbaloi apabila pihak bank menghantar lebih 30 pegawai ke ladangnya untuk mengikuti kursus jangka pendek. Pakciknya turut membantu dengan menghantar empat pensyarah bagi melatih pegawai bank terbabit. Azri meraih sedikit keuntungan daripada projek itu. Didorong dengan kejayaan itu, Azri menubuhkan iGrow, sebuah Institut Perusahaan Berasaskan Pertanian yang menawarkan kursus pertanian selama setahun kepada pelajar dengan jaminan Sijil Kemahiran Malaysia apabila tamat pengajian. Pakcik Azri juga memberi jaminan untuk menjadi mentor dan memberi panduan kepada beliau. Dalam tempoh singkat, kolej Azri yang mempunyai 12 pensyarah, menunjukkan kemajuan yang baik. Kira-kira 200 pelajar telah tamat pengajian daripada institut itu.
Chalet
Pada 2012, Azri sekali lagi menerima motivasi untuk menjana pendapatan apabila memasuki Cabaran Perniagaan Luar Bandar iaitu pertandingan untuk usahawan muda di luar bandar dengan hadiah utama pembangunan bernilai RM2 juta. Namun beliau tewas dalam pertandingan tersebut. Malah pakciknya menasihati beliau agar melupakan pertandingan itu, tetapi Azri berdegil dan mencuba nasib sekali lagi pada 2013. Kali ini dia tersenarai untuk membentangkan arah tuju perniagaannya kepada panel pertandingan. Akhirnya, beliau mengecapi kejayaan dan memenangi wang jaminan sebanyak RM2 juta bagi membangunkan perniagaannya. Melihat pada potensi pelancongan di kawasannya, Azri menggunakan wang tersebut untuk membina 13 buah chalet. Namun sekali lagi nasibnya tidak baik kerana banjir besar melanda Perak dan seluruh chalet yang baru siap dibina dibanjiri air, menyebabkan semua tempahan dibatalkan. Tetapi proses pemulihan semula jalan di sekitar chalet itu masih giat dilaksanakan.
VCube
Beliau turut mencipta nama dalam perusahaan pemodenan pertanian dengan sekumpulan ahli perniagaan yang pakar dalam teknologi. Mereka kini dalam proses membina struktur pertanian khas yang menggunakan teknologi komputer bagi mengawal suhu untuk mempercepatkan pertumbuhan tanaman pada tahap optimum. Teknologi itu digelar sebagai VCube mampu mencapai tinggi 464.5 meter untuk meliputi kawasan tanaman seluas 1,000 kaki persegi.
Azri berdiri di depan Vcube bersama Datuk Ahmad Isham.
Mereka berjaya menguji kemampuan VCube terhadap tanaman tomato dan lada benggala.Beliau melihat kemampuan VCube untuk memasuki pasaran yang lebih besar dan mahu memastikan syarikatnya memasuki senarai Bursa Saham. Kilang pembuatan teknologi itu kini beroperasi di Kulim, Kedah. Satu daripada matlamat Azri adalah memandu kereta mewah BMW pada usia 26 tahun dan dia telah mencapainya. Kini, beliau melangkah dengan lebih jauh dengan membawa jenama HausBoom.
Produk Minuman Jus Sebenar Sparkling
HausBoom ditubuhkan pada tahun 2014. HausBoom, diambil perkataan Haus di dalam Bahasa Melayu merujuk kepada dahaga dan bunyi nya hampir menyamai perkataan inggeris “house”. Nama HausBoom membawa maksud semangat jenama minuman jus sebenar sparkling buatan Malaysia yang menyediakan minuman segar dan bertenaga. Dengan meminum minuman ini akan menghilangkan dahaga dan BOOM! – tenaga yang tercetus untuk aksi seterusnya.


Banyak pengguna membandingkan HausBoom dengan Barbican dan minuman malt lain. Walau bagaimanapun, Hausboom tidak seperti yang lain kerana minuman tersebut mengandungi jus asli sebenar. Kandungan jus minimum dalam setiap Hausboom adalah 10-15%.
Walaupun Hausboom mempunyai rekabentuk botol kaca dan rasa minuman premium, harga runcit minuman 275ml adalah antara RM 3.80 (USD 0.90) hingga RM 4.20, yang dianggap mampu dan direka untuk memenuhi semua selera.

Terdapat 6 perasa iaitu :
  1. Lemonade
  2. Jambu
  3. Anggur hitam
  4. Lychee
  5. Mangga
  6. Strawberry
Perisa ini direka bentuk untuk memilih keutamaan semua pengguna termasuk dari dalam dan luar negara. Buat masa ini, tiada rancangan untuk Hausboom dalam tin aluminium atau botol PET kerana bagi CEO HausBoom sendiri, bekas terbaik untuk jus buah ialah di dalam botol kaca.

Pencapaian & Anugerah
Selain Malaysia, Hausboom kini boleh didapati di lebih dari 8 negara termasuk di Kuwait, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Singapura, Brunei, German, United Kingdom (UK), Korea. HausBoom juga akan meluaskan produknya ke lebih 22 negara seperti Jepun, Indonesia, Thailand, Puerto Rico, Mexico, Nigeria, India, Panama, Guatemala, New Zealand, Tanzania dan lain-lain.
Semua minuman Hausboom disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Selain itu juga,HausBoom mencapai kualiti Good Manufacturing Practice (GMP), pensijilan HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points).

Anugerah yang diperolehi :
  1. Ambank BizRACE: Top 3 Best SME
  2. Brandlaureate: World Halal Brand Award
  3. MIHAS: Most Innovative F&B Produts
  4. Malaysia Good Design Mark: Best Packaging
Bagaimana untuk dihubungi
Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk HausBoom, produk ini boleh didapati di kedai 7E-Eleven, 
99 Speedmart, Mesra, Aeon, MyNews, trak roving (MyNews Mobile), restoran/ kafe berhawa dingin yang terpilih 
seperti Project Maging Steakhouse, Makan Dalam Cafe Banting, Diorama Eattery 
serta halaman Instagram dan Facebook HausBoom :


Rujukan: